Followers Dia

Jan 26, 2011

Cerpen : Seorang Guru Tua


SEORANG GURU TUA

uasana kelas Tingkatan 4 Alfa agak hingar-bingar. Keadaan dalam kelas sukar dikawal bagaikan terdapat sebuah pasar didirikan di situ. Nazri, gagal memainkan peranan sebagai ketua kelas untuk menghalang situasi tersebut. Masing-masing dengan dunia sendiri. Suara hiruk-piruk kedengaran di sana sini. Kehadiran Cikgu Ali mengejutkan mereka. Cikgu Ali dalam lingkungan usia 55-an merupakan antara guru yang telah lama berkhidmat di SMK Bandar Penarik dan mengajar subjek Bahasa Malaysia. Sudah hampir 26 tahun Cikgu Ali menabur bakti di sekolah ini.
            “Berdiri semua, selamat pagi cikgu!” Nazri memberi arahan kepada rakan-rakannya. Setelah memberi ucapan yang sama, semua pelajar duduk dan mendiamkan diri. Suasana sebentar tadi hilang begitu sahaja.
            “Kenapa kelas ni bising sangat ? Tiada kerja rumah nak dibuat? Dah pandai?” Lembut tetapi berbisa suara Cikgu Ali. Para pelajar terus membatukan diri. Soalan itu tidak mampu dijawab. “Baiklah, saya tahu sekarang ni masa Cikgu Rina tapi dia tak datang, demam,” kata Cikgu Ali memberitahu. “Buat kerja kamu yang belum siap dan jangan bising,” arahnya lagi.
            Belum pun sampai sejam masa berlalu, Cikgu Ali terkejut apabila terdengar satu teriakan pelajar perempuan.
            “Jangan kacau lah!” jerit Nina yang duduk berdekatan jendela. Kelihatan Razi sedang mengusiknya.
            “Hah Razi, ni kenapa nak jadi hantu siang-siang hari ni?” sergah Cikgu Ali. Soalan Cikgu Ali tidak diendahkan oleh Razi dan dia terus mengusik Nina. “Razi.....”Cikgu Ali menjerit memanggil Razi.
            “Ya cikgu, ada apa yang boleh saya bantu?” Yang cikgu menjerit ni apa hal? Saya ni tak ada telinga?” Biadap sungguh perlakuan Razi terhadap cikgunya.
            “Kenapa dengan awak ni hah?” Dah lah tak nak buat kerja, yang kamu pergi mengusik orang tu buat apa? Kalau kamu tak nak belajar, pintu kelas ni luas untuk kamu keluar,” kata Cikgu Ali berkias. “Kamu ke mari sekejap.” Cikgu Ali cuba berdiplomasi. Dengan selamba Razi menggalas begnya dan menuju ke arah meja Cikgu Ali
            “Saya pun dah tak ada hati nak belajar dengan orang tua macam cikgu ni!” kata Razi lalu menuju ke pintu kelas dan berlalu pergi. Kata-kata itu berbekas di hati Cikgu Ali. Sakit. Ingin rasa hatinya mahu mengejar Razi dan menampar pelajar itu tetapi atas rasa tanggungjawab sebagai seorang guru, perkara seperti itu harus dielakkan. Dia berishtighfar panjang.
            Selepas peristiwa itu, Razi berkelakuan liar di dalam kelas. Dia sering mengusik pelajar perempuan, suka keluar kelas dan paling teruk merosakkan harta sekolah. Perkara yang mencabar tahap kesabaran Cikgu Ali ialah Razi tanpa segan silu memecahkan cermin tingkap dan pasu bunga yang dijadikan hiasan kelas. Apabila waktu belajar, Razi sering berkhayal tanpa mengambil perhatian apatah lagi jika Cikgu Ali yang mengajar.
            “Kenapa dengan kamu ni Razi, perangai kamu dah berubah. Ingat Razi tahun depan kamu nak ambil SPM.” Cikgu Ali cuba menarik minat Razi untuk berbicara.
            “Yang cikgu sibuk hal saya ni kenapa? Suka hati saya lah nak buat apa!” Razi tiba-tiba membentak.
            “Bukan begitu Razi, cikgu cuma nak Razi belajar bersungguh-sungguh. Jadi orang berjaya nanti,” tutur Cikgu Ali lembut. Dia menggunakan statusnya berpangkat seorang ayah menasihati seorang anak.
            “Saya nak tanya cikgu, adakah pengetua bayar cikgu gaji untuk menasihati saya? Cikgu untung berapa? Guna otak lah cikgu!” jawab Razi kasar. Perkataan otak menaikkan kemarahan Cikgu Ali.Dia tercabar.’Papp! Cikgu Ali menghentak meja Razi. Dia berundur ke meja guru, mengambil buku mengajarnya dan keluar dari kelas 4 Alfa.
            Perlakuan Razi diketahui oleh guru disiplin, Cikgu Zahri yang dikenali dengan kegarangannya dan suka mendenda pelajar. Setelah disiasat, Razi dikatakan bersalah. Hukumannya ialah Razi diminta untuk membersihkan tandas sekolah selama seminggu.Razi menyimpan dendam terhadap Cikgu Ali. Dia rasa terhina diberi hukuman itu. Dia pergi ke tempat letak basikal pelajar-pelajar sekolah. Dengan perasaan marah, dia menendang setiap basikal hingga bertindih-tindihan. Razi merasa puas. Dendamnya tidak berakhir di situ. Dia ternampak kereta milik musuhnya, Cikgu Ali. Dia menghampiri kereta yang agak usang itu dan mencalarkannya. Tidak cukup dengan itu, dia membuang angin tayar kereta itu sehingga kempis. Dia juga memalitkan lumpur di dinding kereta. Dendamnya berbalas juga.
            Setelah diberitahu oleh seorang pelajar, Cikgu Ali bergegas menuju ke keretanya. Dia terkejut melihat perubahan keretanya. Cikgu Ali dapat mengagak itu adalah perbuatan Razi kerana beranggapan pasti Razi marah akibat didenda oleh guru disiplin. Dia menarik nafas panjang sambil memikirkan sesuatu. Batu tidak boleh dilawan oleh batu. Dia merancang untuk mencari apakah masalah sebenar Razi. Dia menuju ke kantin sekolah. Dari jauh dia melihat kelibat Razi duduk di sebatang pokok. ‘Sekarang waktu rehat, kenapa budak ni tak makan’getus hatinya. Dia memandang ke arah Razi dan melambaikan tangannya. Razi juga memandangnya tetapi terus pergi.
            Hari terus berlalu. Satu masa Cikgu Ali sedikit terkejut kerana tidak melihat Razi di dalam kelas. Hatinya diserang pelbagai persoalan.
            “Razi pergi mana? Dia tak datang hari ni?” soal Cikgu Ali mengharapkan jawapan daripada pelajar-pelajarnya.
            “Dah hampir 4 minggu Razi tak datang sekolah cikgu,” jawab Amira, penolong ketua kelas. Jawapan itu meresahkan fikiran Cikgu Ali.
            Walaupun berasa aman mengajar, hati Cikgu Ali tidak senang kerana memikirkan tentang Razi. Tiba-tiba dia dan semua pelajar terkejut dengan kehadiran Razi dalam keadaan tidak terurus masuk ke dalam kelas. Kehadirannya disedari oleh Cikgu Ali dan dia dipanggil ke hadapan. Tanpa berlengah, dia terus menuju ke arah meja guru.
            “Kenapa kamu datang lewat? Kamu dari mana ni?” soal Cikgu Ali. Tiada sebarang jawapan daripada Razi. “Kamu dah tahu sekarang jam berapa?” Masih tiada jawapan. “Razi, kenapa dengan kamu ni hah? Kamu dengar apa yang saya cakap?” Cikgu Ali berang. Darah tuanya tiba-tiba mendidih. Dia meradang dengan perlakuan Razi yang dianggapnya biadap.
            “Cikgu ni apa hal hah? Tiap kali saya dalam kelas, cikgu bising. Cikgu dah tua, baik berehat di rumah. Lebih bagus cikgu pergi mampus!” Marah Razi biadap. Cikgu Ali bangun dari kerusi dan ingin menampar Razi. Razi mengelak dan tangannya menolak kedua-dua bahu Cikgu Ali. Cikgu Ali tertolak ke belakang terlanggar dinding. Dia terjatuh. Pengsan. Razi melarikan diri. Cikgu Ali dikejarkan ke hospital.
           Setelah seminggu Cikgu Ali berada di hospital, perbuatan Razi akhirnya diketahui pihak sekolah. Dendanya kali ini lebih teruk. Dia disuruh membersihkan seluruh kawasan sekolah selama tiga hari berturut-turut. Selepas itu, Razi dibawa berjumpa dengan pengetua, Puan Munirah.
            “Apa khabar Razi? Sihat?” Langkah pertama Puan Munirah untuk menarik perhatian Razi. Razi mengangguk.
            “Kenapa Razi berbuat begitu dengan Cikgu Ali? Dia begitu baik dengan Razi tau,” tutur Puan Munirah lembut. Razi tiba-tiba menangis. Suara keibuan Puan Munirah menggoyahkan perasaannya. Dia berasa seperti lebih dihargai berhadapan dengan pengetua itu. “Sekarang ni Cikgu Ali masih di hospital. Pergilah melawat dia. Dia sayangkan Razi. Dia tidak pernah melaporkan kelakuan Razi pada kami. Cikgu Ali juga ada meminta kami untuk tidak mendenda Razi akibat kes Razi tempoh hari,” sambung Puan Munirah lagi.
            Razi teringatkan perbuatannya terhadap Cikgu Ali selama ini. Dia berasa sangat bersalah. Dia berjanji untuk melawat CIkgu Ali petang nanti.Dia ingin memohon kemaafan dari cikgunya itu.
            Petang itu, Razi pun pergi melawat Cikgu Ali. Di hospital, perlahan-lahan dia menghampiri katil Cikgu Ali. Razi berlari ke arah Cikgu Ali dan memeluk cikgunya itu.
            “Maafkan saya cikgu, saya betul-betul minta maaf dengan cikgu. Banyak salah saya pada cikgu,” luah Razi sambil menangis teresak-esak. Cikgu Ali merungkaikan pelukannya.
            “Razi, cikgu pun minta jika cikgu selalu memarahi Razi. Cikgu tidak berniat untuk memarahi Razi. Sebenarnya cikgu sayangkan Razi. Cikgu mahu Razi berubah jadi orang yang berguna dan berjaya satu hari nanti,” kata Cikgu Ali. Razi berasa sangat kesal dengan tindakannya mencalarkan kereta cikgunya itu.
            “Tapi cikgu, saya banyak buat salah dengan cikgu. Dalam kelas hari tu, kereta cikgu pun saya yang calarkannya, saya minta maaf banyak-banyak cikgu.” Razi takut-takut memberitahu.
            “Cikgu dah lama maafkan Razi. Cuma cikgu mahu Razi jani akan berubah,” kata Cikgu Ali.
            “Ya cikgu saya janji. Maafkan saya cikgu,” kata Razi sekali lagi sambil memeluk Cikgu Ali. Cikgu Ali membalas pelukan itu. Dia berasa sangat bersyukur kerana pelajarnya sudah berjanji untuk berubah. Dan dia bertanggungjawab membantu Razi melaksanakan janjinya. Tanpa diduga, air matanya mengalir perlahan-lahan menitis ke rambut Razi. Inilah kebenaran yang telah merungkaikan persoalannya selama ini.

Lepas baca jangan lupa FOLLOW dan KOMEN!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...