Followers Dia

Jan 26, 2011

Analisis Cerpen Lambaian Malar Hijau


1. BIODATA PENGARANG

Cerpen Lambaian Malar Hijau ini telah ditulis oleh seorang penulis muda berketurunan India yang bernama Saroja Theavy a/p Balakrishnan. Beliau dilahirkan pada 7 April 1962, di Alor Setar, Kedah Darul Aman. Saroja Theavy telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Hj. Mohd. Shariff. Kemudian beliau meneruskan persekolahannya ke Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah. 
Setelah menghabiskan zaman persekolahannya di sekolah menengah, beliau seterusnya telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda (dalam bidang Linguistik, Sastera dan Komunikasi), dan seterusnya telah Berjaya memperoleh Diploma Pendidikan. Selepas itu, beliau telah berkhidmat dan bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kepong Baru, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18, Shah Alam dan kemudian telah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Seterusnya, beliau telah melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang kesusasteraan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan kini, sedang menunggu keputusan tesis sarjana dalam bidang kesusasteraan. Beliau telah menulis cerpen untuk bacaan umum, remaja, dan kanak-kanak. Mula berjinak dalam bidang penulisan sejak di peringkat universiti. Pada mulanya, menulis puisi semasa sedang menuntut di UKM, dan aktif sebagai wartawan akhbar Nadi Bangi (akhbar keluaran Jabatan Komunikasi, UKM). Semasa mula bertugas sebagai guru, cerpen yang berjudul  “Bukit Sikikih Mengaum” .Antara kejayaan besar yang diraih ialah kejayaan mendapat tempat pertama daripada lebih 450 buah cerpen dalam Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia 2000. 
Anugerah yang pernah dicapai oleh beliau dalam penulisan cerpen ialah Hadiah Penghargaan Hadiah Cerpen Utusan Melayu 2000 bagi kategori cerpen dewasa, tempat pertama dalam Peraduan Menulis Cerpen Formula Malaysia tahun 2000, hadiah utama Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank  bagi kategori Cerpen Remaja 1998 dan sebagainya.

2.      SINOPSIS

Cerpen Lambaian Malar Hijau ini mencoretkan kisah tentang seorang anak orang asli yang bernama Daneng. Dia merupakan seorang pelajar yang pintar dalam bidang akademik tetapi dia tidak ingin meneruskan pelajarannya ke tingkatan 4 walaupun dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Cikgu Jo yang merupakan guru Daneng sanggup meredah hutan belantara untuk menemui Daneng hanya untuk satu tujuan iaitu memujuk Daneng agar kembali bersekolah meneruskan pelajarannya sehingga mencapai kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Akan tetapi, Daneng tetap dengan pendiriannya untuk menjaga warisan nenek moyangnya kerana dia tidak ingin melihat dunianya itu dicalit dengan pencemaran atau kemusnahan dek sapaan kemajuan dan anasir-anasir jahat. Berbekalkan modal yang konkrit, akhirnya Cikgu Jo berjaya memujuk Daneng dengan memberi pelbagai alasan yang kukuh yang tidak dapat lagi disangkal oleh Daneng kerana kesedaran telah membenih di hati Daneng kerana suatu masa nanti dia pasti akan berjaya menjaga hutan itu dengan pelajarannya. Selepas 25 tahun kemudian, Daneng telah berjaya mencapai cita-citanya dan mendapat gelaran Datuk. Dia juga menerima Hadiah Nobel kerana usahanya dalam menyelamatkan hutan belantara dan turut diberikan kepercayaan oleh kerajaan Brazil untuk memulihkan hutan di Lembangan Amazon. Hasil yang telah dituainya sekarang tidak sesekali memadamkan ingatannya dari terus melupakan jasa yang telah Cikgu Jo curahkan padanya kerana tanpa kehadiran insan seperti Cikgu Jo dalam hidupnya, sudah pasti sekarang dia akan terus dibuai kekesalan tanpa kesudahan.

3.      TEMA DAN PERSOALAN

3.1.        TEMA

Tema bagi Cerpen Lambaian Malar Hijau ini ialah bertemakan tentang perasaan cinta dan sayang akan alam sekitar.  Dari permulaan cerita hingga berakhirnya cerita ini sudah terbukti bahawa tema kecintaan terhadap alam sekitar adalah mesej utama yang ingin disampaikan dan ditonjolkan oleh pengarang. Berlatarkan hutan rimba dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh seorang anak muda terhadap hutan tersebut begitu menyentuh sekali. Hal yang demikian kerana rupanya masih ada lagi benih yang akan memperjuangkan tapak semaiannya iaitu masih ada lagi generasi masa kini yang dilahirkan untuk menjadi khalifah dalam memperjuangkan hutan dan alam semula jadi pada abad ini.
Tema perasaan cinta dan sayang akan alam sekitar ini dapat dibuktikan dan dikukuhkan lagi apabila dalam cerpen ini, Daneng sanggup meninggalkan alam persekolahannya semata-mata agar dia boleh meneruskan niatnya untuk memelihara dan menjaga hutan belantara yang merupakan warisan nenek moyangnya. Dia tidak rela melihat hutan tersebut dimusnahkan dan hilang dari pandangan generasi selepasnya akibat perbuatan durjana yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, tema ini juga dapat dibuktikan apabila berbekalkan misi dan niatnya untuk terus menyelamatkan hutan dan alam sekitar dalam arus pembangunan, Daneng telah mendapat tiupan api semangat untuk terus cemerlang  dalam pelajaran hingga dia berjaya menjadi seorang yang mampu menyelamatkan hutan dan alam sekitar bukan sahaja di kawasannya, malahan di seluruh dunia. Daneng yang telah mendapat hadiah Nobel juga turut diikhtiraf apabila kerajaan Brazil telah memberi kepercayaan kepadanya untuk memulihkan hutan di Lembangan Amazon.
Tema ini telah menepati dan selaras dengan senario yang kita telah alami sekarang apabila alam sekitar telah beransur nazak diserang manusia yang telah hanyut dalam arus pemodenanan hingga mengabaikan jasa alam sekitar dalam proses pembentukan tamadun manusia. Oleh itu, manusia harus sedar dari mimpi untuk bangun dan bersama-sama semangat Daneng untuk terus memelihara kesejahteraan alam sekitar.

3.2.PERSOALAN-PERSOALAN
Terdapat banyak persoalan yang cuba ditimbulkan pengarang dalam cerpen Lambaian Malar Hijau ini termasuklah persoalan tentang kepentingan pendidikan terhadap seseorang individu. Melalui penceritaan dalam novel ini, pengarang telah mengutarakan isu pendidikan dalam kalangan remaja orang asli di negara ini. Kebanyakkan mereka belajar setakat tahap pendidikan yang rendah sahaja kerana terlalu banyak tembok rintangan dan dugaan yang mereka perlu tempuhi. Cerpen ini menonjolkan Daneng, remaja orang asli sebagai seorang yang bijak dalam pelajaran namun enggan meneruskan pelajaran kerana dia merasa lebih bahagia dengan alam yang penuh ketenangan dan keasyikan dan telah menjadi teman sepermainannya  semasa membesar. Tetapi berkat usaha Cikgu Jo, Daneng akhirnya sedar akan kepentingan pendidikan dalam hidupnya dan anak bangsanya.
Seterusnya ialah persoalan mengenai kekayaan flora dan fauna serta sikap tamak manusia. Cerpen ini telah menonjolkan keindahan dan kekayaan flora dan fauna dalam alam sekitar di negara ini. Penulis menggambarkan hutan yang dihuni oleh orang asli itu sangat indah dan mengasyikkan dengan kehadiran kicauan burung dan nyanyian serangga serta pelbagai jenis pokok yang mempesonakan. Tetapi, secara tidak langsung, penulis juga telah menyentuh tentang sikap tamak haloba manusia dalam menarik keindahan alam sekitar seperti menjalankan kegiatan pembalakan haram yang berleluasa di tempat tinggal orang asli dek didorong sikap tamak.
Persoalan mengenai kehidupan orang asli juga adalah termasuk dalam tema cerpen ini. Pengarang telah menyuluh kehidupan lahiriah dan batiniah orang asli melalui cerpen ini. Orang asli ini bergantung sepenuhnya dengan hasil hutan. Mereka selesa dengan kehidupan yang sederhana, tidak terburu-buru mengejar masa dan hidup yang aman damai. Oleh kerana diulit dengan kehidupan sedemikian, mereka tidak mengambil kisah tentang kepentingan ilmu. Golongan ini juga masih berpegang dengan kepercayaan animisme dan berpegang kuat dengan pelbagai pantang larang. Ini dapat dilihat melalui watak Daneng yang berpesan kepada Cikgu Jo agar mengikut pantang larang ketika berada di hutan semasa mereka hendak pergi memancing.
Selain itu, cerpen ini juga menonjolkan persoalan mengenai tanggungjawab seorang guru terhadap pelajarnya dalam melahirkan insan yang berjaya. Tugas guru bukanlah sesuatu yang mudah, dalam melahirkan generasi hebat sebagai pelapis negara amat memerlukan pengorbanan yang besar dari seorang guru. Melalui cerpen ini, kita dapat lihat apabila Cikgu Jo sanggup meredah hutan mencurah peluh memujuk Daneng agar dapat meneruskan pelajarannya. Lilin seorang guru yang cair begitu sahaja tanpa dapat menerangi orang lain bererti dia masih belum melaksanakan tanggungjawabnya sebagai guru dengan baik. Walaubagaimanapun, pengorbanan Cikgu Jo akhirnya berbaloi apabila Daneng setuju untuk menyambung pelajarannya.

4.      PLOT

4.1.BINAAN PLOT

Binaan plot bagi cerpen ini ialah bermula dengan eksposisi atau permulaan cerita. Pengarang memulakan cerita dengan menggunakan teknik plot imbas kembali telah menonjolkan keindahan hutan dan alam sekitar dalam memberi hiasan yang terhebat dan terbaik melalui kaca mata manusia yang menghargai keindahan flora dan fauna. Pengarang juga telah mula memberi pengenalan kepada watak-watak dalam cerpen ini seperti watak Cikgu Jo, Daneng, dan ibu bapa Daneng. Cerita dimulakan dengan watak Cikgu Jo yang meredah hutan menemui Daneng atas satu tujuan iaitu memujuknya agar kembali ke sekolah.
Setelah itu, pembinaan plot beralih kepada yang seterusnya iaitu perkembangan cerita. Perjalanan cerpen ini mula berkembang apabila Cikgu Jo memulakan misi untuk memujuk Daneng untuk kembali ke sekolah agar dapat menyambung pelajarannya semasa mereka berdua pergi memancing di sungai dalam hutan. Watak Daneng telah berhenti sekolah walaupun dia adalah seorang pelajar yang  cemerlang dalam pelajaran. Pada masa yang sama juga, dalam hati Cikgu Jo masih ada sekelumit perasaan serba salah kerana tidak ingin meragut kebahagiaan Daneng yang kelihatan hidup dengan aman dan bahagia dalam hutan itu selepas berhenti sekolah. Namun, Cikgu Jo tetap ingin meneruskan niat baiknya itu kerana dia tidak mahu Daneng terus ketinggalan sebagai anak orang asli yang tidak mempunyai pendidikan.
Pembinaan cerpen ini juga diselitkan dengan pembinaan plot konflik cerita. Konflik dalam cerpen ini telah muncul apabila Cikgu Jo telah menimbulkan soal kepentingan ilmu kerana Daneng walaupun sebagai anak orang asli berhak dan layak untuk mendapatkan pendidikan. Daneng tetap dengan pendiriannya dan mula memberi hujah kerana dia tidak ingin menyambung pelajaran atas alasan ingin memelihara hutan warisan nenek moyangnya. Cikgu Jo berbekalkan semangat pendidik sejati negara meneruskan memujuk Daneng dan mula mengeluarkan kata-kata ajaib seorang guru dalam memujuk Daneng. Konflik cerita ini diteruskan apabila mereka saling memberikan hujah-hujahsehingga menimbulkan sedikit ketegangan dalam perbualan mereka.
Seterusnya, pembinaan plot ini berada pada klimaksnya iaitu pada puncak cerita. Puncak cerita dalam cerpen Lambaian Malar Hijau ini ialah apabila Daneng telah bersetuju untuk bersekolah semula. Pada mulanya pembaca akan berasa saspens kerana selepas Cikgu Daneng selesai memujuk Daneng, kelihatan seperti Daneng tetap dengan pendiriannya iaitu tidak ingin meneruskan persekolahannya. Namun, puncak cerita ini berlaku apabila Daneng telah memberi sinar kepada Cikgu Jo kerana dia telah bersetuju menyambung pelajarannya ke tingkatan 4. Hal yang demikian menunjukkan usaha Cikgu Daneng telah berbaloi.
Cerpen ini berakhir pada pembinaan plot yang terakhir iaitu pada peleraian cerita. Cerita dalam cerpen ini mula berakhir apabila pengarang telah mempamerkan pertemuan antara Cikgu Jo dan Daneng 25 tahun selepas peristiwa atau konflik yang telah berlaku. Peleraian cerita ini juga telah melakarkan tentang kejayaan Daneng yang kini bergelar Datuk dan terlibat dalam misi untuk menyelamatkan hutan di negara ini dan seluruh dunia. Kedua-dua mereka bertemu dan berlaku satu babak yang begitu menyentuh hati apabila Daneng merasa bertuah mendapat kehadiran seorang guru dalam hidupnya seperti Cikgu Jo yang telah memneri kesedaran kepadanya tentang erti kejayaan dalam hidup mestilah bermula dengan ilmu di dada.

4.2.TEKNIK PENCERITAAN/PLOT

Pengarang telah menggunakan beberapa teknik plot dalam pembinaan plot dalam cerpen ini. Antara teknik plot yang terdapat dalam cerpen Lambaian Malar Hijau ini ialah teknik imbas kembali. Teknik imbas kembali telah digunakan dari permulaan cerita hingga akhir cerita. Teknik penceritaan Ini telah ditunjukkan apabila cerita ini telah diimbas kembali melalui watak dan kaca mata seorang lelaki bernama Datuk Daneng yang mengimbas dan mengenang kembali perjalanan hidupnya 25 tahun lepas apabila Cikgu Jo memujuknya untuk kembali bersekolah dengan harapan dia juga boleh menjaga hutan warisan nenek moyangnya berbekalkan ilmu yang dituntutnya di sekolah.
Teknik yang seterusnya ialah tenik pemerian. Teknik plot iaitu pemerian juga telah digunakan dalam plot cerpen ini. Pemerian telah digunakan pada bahagian eksposisi iaitu permulaan cerita. Pengarang telah menggunakan teknik pemerian bagi menjelaskan tentang perjalanan Cikgu Jo yang meredah hutan menuju ke rumah Daneng dan menjelaskan tentang perjalanan Cikgu Jo dan Daneng menuju ke sungai dalam hutan untuk memancing ikan walaupun pada masa yang sama Cikgu Jo mempunya niat baik yang lain. Teknik pemerian ini digunakan apabila pengarang menjelaskan tentang keindahan hutan dalam perjalanan Cikgu Jo menuju ke rumah Daneng (ms:88).
Cerpen ini juga turut memuatkan teknik penceritaan menggunakan dialog. Teknik dialog telah digunakan pengarang dari permulaan cerita hingga peleraian cerita. Teknik dialog turut digunakan semasa perbualan antara Cikgu Jo dan Daneng dan semasa perbualan Cikgu Jo dengan ibu bapa Daneng. Contoh dialog yang terdapat dalam cerpen ini ialah:
            Jo tersentak. “Apa khabar?” tercetus suaranya.
            “Baik. Cikgu baik?”
            “Tentu, kalau tidak takkan sampai ke mari. Engkau terima pesanan daripada Isyak?”       (ms:89)
Teknik penceritaan atau plot yang lain ialah teknik monolog dalaman. Teknik monolog dalaman iaitu bermonolog atau bercakap dalam hati telah digunakan dalam cerpen ini. Monolog dalaman telah digunakan semasa Cikgu Jo memujuk Daneng meneruskan pelajaran semasa mereka berdua pergi memancing. Contoh penggunaan teknik monolog dalaman dalam pembinaan plot cerpen ini ialah:
            “Adakah aku sudah menyinggung perasannya, adakah nasihatku keterlaluan?” bentak suara hati Jo.       (ms:95)

5.      WATAK DAN PERWATAKAN

Pengarang telah memperkenalkan dan menonjolkan beberapa watak dan perwatakan setiap watak dalam cerpen Lambaian Malar Hijau ini dengan baik. Pengarang tidak menonjolkan terlalu banyak watak dalam cerpen ini. Ini menunjukkan pengarang hanya ingin pembaca terus memberi perhatian terhadap watak dan perwatakan watak utama di samping watak-watak sampingan yang lain dalam memberi lebih rasa dan hidupnya cerpen yang telah dikarangnya ini.
Watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen ini bermula dengan watak utama iaitu Daneng. Daneng merupakan watak dinamis kerana pada permulaan cerita, watak Daneng merupakan seorang anak orang asli berusia 16 tahun yang tinggal di hutan dan mempunyai fizikal tubuh badan yang berotot kental, sihat, gagah dan tahan lasak. Mempunyai warna kulit sawo matang dan rambut pendek yang kerinting. Kemudian watak Daneng berubah menjadi Datuk Daneng selepas 25 tahun kemudian yang mempunyai pangkat serta kerjaya. Dia juga sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak bernama Dany.
Perwatakan Daneng dalam cerpen ini ialah bijak. Daneng merupakan seorang anak orang asli yang bijak. Ini dibuktikan apabila dia telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kebijakkan Daneng sekali lagi terbukti apabila dia Berjaya mencapai cita-citanya 25 tahun kemudian dan bergelar Datuk serta terlibat dalam usaha memelihara kesejahteraan hutan dan alam sekitar.
Selain itu, Daneng juga mempunyai perwatakan sebagai seorang yang mempunyai jiwa yang halus dan sensitif. Daneng mempunyai jiwa dan hati yang begitu sensitif walaupun pada zahirnya kelihatan dia begitu tabah. Ini dibuktikan apabila dia bercerita kepada Cikgu Jo tentang keadaan hutan yang sekarang telah banyak ditebang, hatinya menjadi sayu dan sedih akan perkara tersebut sehingga dia memendam kesedihan tersebut dalam hati walaupun matanya sudah berkaca-kaca.
Daneng juga merupakan seorang anak muda yang bertanggungjawab. Watak Daneng merupakan seorang yang penuh dengan tanggungjawab walaupun umurnya pada masa itu umurnya masih muda,  tetapi sikap matangnya begitu menyerlah. Hal yang demikian dapat dibuktikan apabila Daneng merasa dirinya sangat bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara hutan warisan nenek moyangnya sebagai generasi baru.
Daneng juga turut memiliki sifat rendah diri yang tertanam dalam dirinya. Daneng memiliki sifat rendah diri dan sangat menghormati gurunya. Ini dapat dibuktikan apabila Daneng walapun setelah mempunyai pangkat dan kerjaya, tetapi masih merendah diri dengan tidak mahu Cikgu Jo memanggilnya dengan gelaran Datuk dan masih menghargai jasa dan pengorbanan yang telah Cikgu Jo curahkan 25 tahun yang lalu.
Cerpen ini juga turut memuatkan watak sampingan sebagai penguat jalan cerita dan berperanan penting dalam perkembangan plot sesebuah cerpen. Antara watak sampingan cerpen Lambaian Malar Hijau ini ialah Cikgu Jo. Watak Cikgu Jo adalah sebagai seorang pendidik atau guru muda yang menjalankan tugasnya sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah menengah berhampiran perkampungan orang asli.
Cikgu Jo mempunyai perwatakan seperti mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap pelajar dan pendidikan. Cikgu Jo sangat mengambil berat terhadap pelajarnya dan sangat mementingkan pendidikan dan merasa satu kerugian pada mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan pendidikan dalam hidup. Hal yang demikian dapat dibuktikan apabila dia begitu bersungguh-sungguh sehingga sanggup meredah hutan belantara untuk memujuk Daneng agar kembali bersekolah kerana merasakan Daneng ada potensi untuk terus berjaya sekaligus dapat membantu kaumnya apabila berjaya kelak. Bagi Cikgu Jo, pendidikan mampu mengubah hidup seseorang.

Cikgu Jo merupakan seorang yang tidak akan mudah berputus asa dalam membuat sesuatu kerja. Ini dibuktikan apabila dia dia berputus asa memujuk Daneng kembali ke sekolah dan terus mengeluarkan hujah tersendiri walaupun ditentang keras Daneng sehingga usahanya berbaloi apabila Daneng setuju untuk menyambung pelajarannya.
Watak sampingan yang seterusnya ialah Ibu bapa Daneng. Watak ibu dan bapa Daneng tidak dinyatakan nama mereka dalam cerpen ini. Mereka merupakan orang asli yang tinggal dalam sebuah pondok di perkampungan orang asli dan mempunyai anak bernama Daneng. Perwatakan ibu bapa Daneng ini ialah menghormati orang lain. Walaupun hidup mereka anak beranak dalam kesederhanaan, ibu bapa Daneng ini tetap menghormati orang lain seperti tetamu. Semasa Cikgu Jo pergi melawat Daneng di rumahnya, mereka melayan Cikgu Jo dengan ramah sehingga menghidangkan makanan dan minuman sebagai santapan.
Ibu bapa Daneng juga merupakan sepasang suami isteri yang pemurah. Ini dapat dibuktikan apabila mereka telah memberi petai kepada Cikgu Jo. Walaupun hidup dalam kesederhanaan masih hendak memberi sedekah. tidak  mampu memberi barang yang lebih mewah, itu sudah cukup membuktikan mereka begitu pemurah dan tidak kedekut.
Watak sampingan yang terakhir ialah Dany. Dany Merupakan seorang anak remaja. Dany merupakan anak kepada Datuk Daneng. Dia merupakan generasi baru yang bernasib baik kerana masih berpeluang melihat dan menikmati serta mengagumi keindahan alam sekitar.. Dalam cerpen ini, watak Dany hanya muncul pada peleraian cerita. Oleh itu, perwatakan Dany tidak berkembang dalam cerpen Lambaian Malar Hijau ini.


6.      LATAR

Latar yang terdapat dalam cerpen Lambaian Malar hijau ini terbahagi kepada 3 latar iaitu latar masa, tempat dan masyarakat. Berikut adalah latar-latar yang  terdapat dalam cerpen ini iaitu latar masa, tempat dan masyarakat.
Latar masa yang terdapat dalam cerpen Lambaian Malar Hijau ini ada banyak latar masa. Antara latar masa yang terdapat dalam cerpen ini ialah cerpen ini berlangsung dalam jangka masa satu hari sahaja iaitu dari pagi hingga ke petang semasa Cikgu Jo memujuk Daneng semasa memancing hingga selesai perbincangan. Selain itu, latar  masa ialah pada tahun 1995, iaitu semasa Daneng berhenti sekolah pada umur 16 tahun dan kemudian menyambung kembali persekolahannya. Latar masa berikutnya ialah pada tahun 2020 iaitu pada zaman kemajuan, selepas 25 tahun berlalu. Daneng kini bergelar Datuk dan terlibat dalam usaha memelihara hutan di dunia.
Seterusnya ialah latar tempat. Cerpen ini berlatarkan hanya pada beberapa tempat sahaja. Latar tempat yang terdapat dalam cerpen ini ialah perkampungan orang asli iaitu perkampungan di mana Daneng dan orang tuanya tinggal di Lembah Tualang dan hutan di perkampungan ini di mana Daneng dan Cikgu Jo memancing ikan. Latar tempat berikutnya ialah Danau nyok, iaitu tempat di mana Cikgu Jo dan Daneng memancing ikan sambil berbincang mengenai misi utama Cikgu Jo mengajak Daneng memancing bersama. Latar tempat Dataran Tualang juga terdapat dalam cerpen ini. Pada akhir cerita, Lembah Tualang ditukar namanya kepada Dataran Tualang setelah dimajukan 25 ahun kemudian. Tempat di mana Datuk Daneng dan Cikgu Jo bertemu setelah Daneng mencapai kejayaan.
Latar yang terakhir ialah latar masyarakat. Latar masyarakat yang terdapat dalam cerpen ini ialah masyarakat orang asli. Masyarakat orang asli telah digambarkan melalui watak Daneng dan ibu bapanya. Kehidupan masyarakat orang asli ini juga turut digambarkan menjalani hidup yang sederhana  di dalam pondok dan masih mempercayai kepercayaan dan pantang larang. Masih mengekalkan adat dan tradisi sejak  berzaman.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat yang mementingkan pendidikan. masyarakat yang mementingkan pendidikan di sini bagi mereka yang mempunyai pengetahuan yang cukup luas dan berpendidikan seperti watak Cikgu Jo yang ingin melihat Daneng beroleh kejayaan. Selain itu, terdapat juga latar masyarakat yang mencintai alam sekitar. Masyarakat seperti ini jarang kita jumpa pada masa kini terutama pada generasi baru. Di dalam cerpen ini masyarakat ini telah dibawakan oleh watak Daneng dan Cikgu Jo yang tidak ingin hutan dan alam sekitar musnah oleh mereka yang tidak bertangggungjawab.
  
7.      GAYA BAHASA

Melalui cerpen Lambaian Malar Hijau ini, kita dapat teliti dan lihat bahawa bahasa-bahasa yang digunakan dalam cerpen ini amat baik dan menggunakan gaya bahasa yang begitu indah sekali dalam penceritaan setiap babak. Gaya bahasa yang sangat indah ini dan mempunyai sedikit ciri tradisional tetapi mudah untuk difahami oleh pembaca.
Gaya bahasa yang berikut terdapat dalam cerpen ini ialah gaya bahasa personifikasi iaitu unsur yang digunakan untuk memindahkan atau memberikan  sifat manusia kepada benda-benda mati, binatang, idea atau hal-hal yang abstrak sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau tindak tanduk. Contohnya :
·         kabus pagi yang sejuk mengucup mesra jiwa Daneng. (ms:88)
·         Kemesraan suria perlahan-lahan mendakap kehalusan kabus pagi. (ms:96)

Gaya bahasa yang seterusnya ialah metafora. Metafora merupakan perbandingan yang tidak jelas tidak melibatkan kata-kata seperti, bak, umpama, ibarat dan sebagainya. Contoh bagi gaya bahasa ini yang terdapat dalam cerpen ialah:
·         Wajah itu diselubungi awan kerisauan. (ms:96)
·         ….ucap Jo sambil mengelap manik-manik peluhnya yang sudah berkedut itu. (ms:97)

Cerpen ini juga turut memuatkan gaya bahasa simile. Gaya bahasa ini merupakan unsur perbandingan terhadap sesuatu keadaan dan lazimnya menggunakan kata-kata seperti laksana, umpama,ibarat, macam, seperti, dan sebagainya. Contoh penggunaan gaya bahasa ini dalam cerpen ialah :
·         Seperti seekor rerama yang terbang bebas. (ms:89)
·         Bagai seorang pemburu gagah. (ms:91)

Melalui cerpen Lambaian Malar Hijau ini juga, terdapat penggunaan peribahasa dalam cerpen ini. Contoh penggunaan peribahasa ialah :
·         Peribahasa yang diterbalikkan iaitu bara yang digenggam perlu menjadi arang. Sepatutnya genggam bara api biar sampai jadi arang. (ms:95)

Seterusnya ialah gaya bahasa perlambangan. Gaya bahasa ini bermaksud untuk menerangkan sesuatu dengan menggunakan benda-benda lain. Contoh penggunaan gaya bahasa ini yang terdapat dalam cerpen ialah :
·         Engkau bunga bangsa belantara ini. (ms:94)
bunga bangsa di sini melambangkan generasi baru yang menjadi permata negara
·         Atau mengeji tingkah hitam segelintir manusia.
tingkah hitam melambangkan perlakuan manusia yang tidak bertanggungjawab terhadap kemusnahan hutan.

Gaya bahasa lain yang terdapat dalam cerpen ini juga termasuklah gaya bahasa pengulangan (anafora). Gaya bahasa ini bermaksud pengulangan pada permulaan ayat ungkapan, baris dan rangkap. Contoh penggunaan gaya bahasa ini dalam cerpen ialah :
·         Tidak! Tidak! Aku mesti melaksanakan tugas! (ms:89)
·         Milik kami bersama, milik kami sejak berzaman. (ms:94)

8.      SUDUT PANDANGAN
Cerpen Lambaian Malar Hijau ini menggunakan sudut pandangan orang ketiga. Sudut pandangan ini merupakan sudut pandangan orang ketiga serba tahu. Hal yang demikian bermaksud, pengarang bagi cerpen ini iaitu Saroja Theavy a/p Balakrishnan berada di luar lingkungan cerita ini. Pengarang hanya mengarang cerita ini orang ketiga dan bukan merupakan sebahagian daripada penceritaan cerita sama ada dari segi watak dan sebagainya.
Melalui cerpen ini juga, kita dapat mengetahui bahawa pengarang amat mengenali semua watak yang ditampilkan dan terdapat dalam cerpen ini. Oleh itu, pengarang dapat menghuraikan watak-watak tersebut berdasarkan perwatakan mereka dengan jelas dengan teliti.
Sudut pandangan orang ketiga ini juga bermaksud pengarang bagi cerpen Lambaian Malar Hijau ini dapat menceritakan secara terperinci tentang watak-watak dalam ceritanya, baik dari segi fizikal, perasaan atau pemikiran.
Sudut pandangan orang ketiga bagi sesebuah cepen bermakud sudut pandangan yang menghadkan pengarang pada pemikiran dan perasaan watak yang satu itu saja. Kecuali pengarang cukup mahir dan mampu mempelbagaikan penggunaan sudut pandangan orang ketiga ini. Sudut pandangan orang ketiga memberikan lebih kebebasan dibandingkan dengan sudut pandangan orang pertama, tapi kurang daripada sudut pandangan orang ketiga yang serba tahu. 

9.      NILAI DAN PENGAJARAN

Melalui pembacaan cerpen Lambaian Malar Hijau ini, kita telah mendapat banyak pengajaran dan nilai-nilai murni. Buka bertujuan sekadar untuk mengisi masa lapang dan peneman di kala kesunyian, cerpen ini juga telah menyelitkan beberapa unsur-unsur tentang nilai dan pengajaran yang dapat kita jadikan tauladan dan pembimbing dalam menjalani kehidupan di dunia dan mendapat berkat di akhirat kelak.
9.1.        NILAI
Nilai yang terdapat dalam cerpen ini ialah nilai kemasyarakatan. Antara nilai kemasyarakatan yang ditonjolkan ialah sikap hormat menghormati. Dalam hidup bermasyarakat, sikap saling hormat menghormati sesama insan dan masyarakat amatlah perlu bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan hidup berjiran walaupun berlainan warna kulit dan bahasa. Contoh yang dapat diambil ialah apabila keluarga Daneng menghormati Cikgu Jo dan melayannya dengan baik semasa bertandang ke rumah mereka dan semasa Daneng masih menghormati Cikgu Jo walaupun sudah bergelar Datuk.
Selain itu, terdapat juga nilai kebudayaan dalam cerpen ini. Antara nilai kebudayaan yang ditonjolkan oleh pengarang ialah tentang kegigihan. Kegigihan amat perlu dalam setiap individu dalam mencapai sesuatu yang dikehendaki kerana kejayaan tidak akan datang dengan sendirinya. Kita perlu mencontohi sikap Daneng yang berusaha dengan gigih dalam menuntut ilmu sehingga beliau berjaya dalam hidup dan dianugerahkan anugerah Nobel.
Nilai kebudayaan yang seterusnya ialah tentang jasa dan pengorbanan. Hal yang demikian bermaksud sedang kita  ingin mencapai sesuatu, kita juga telah membuat jasa dan pengorbanan dalam mengharapkan hasil yang lebih baik bukan sahaja untuk diri kita, tetapi pada orang lain. Tetapi jangan lupa untuk terus menghargai jasa dan pengorbanan ini. Ini ditunjukkan apabila Cikgu Jo sanggup berkorban meredah hutan untuk memujuk Daneng kembali ke sekolah.

9.2.        PENGAJARAN

Pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam cerpen ini melalui hasil pembacaan cerpen tersebut ialah kita perlu melindungi warisan hutan yang terbentang luas agar agar tidak tercemar akibat angkara manusia yang rakus. Sebagai seorang manusia yang berakal dan dikurniakan akal untuk berfikir, kita sepatutnya tahu mengenai kepentingan untuk menjaga alam sekitar dalam memelihara flora dan fauna. Alam sekitar ini telah banyak berjasa kepada kita, oleh itu kita haruslah membalas jasa mereka dengan sama-samamemelihara kesejahteraan hutan dan alam sekitar.
Selain itu, pengajaran bagi cerpen ini ialah kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran agar dapat menjadi orang yang berjaya dan berguna dalam hidup. Dalam mencapai sesuatu kejayaan, resepinya ialah kesungguhan dan keazaman dan hasilnya kejayaan yang dapat kita manfaatkan bukan sahaja kepada diri, malahan kepada masyarakat, bangsa dan negara.
Melalui cerpen ini juga, pengajaran lainyang dapat kita teladani ialah kita hendaklah tahu menghargai jasa seseorang. Apabila seseorang berjasa kepada kita, tiada wang ringgit dan harta yang dapat membalas jasa mereka. Cukup sekadar kita menghargai jasa mereka. Janganlah kita bertindak seperti kacang lupakan kulit. Seperti Daneng yang tidak melupakan jasa gurunya.

Lepas baca jangan lupa FOLLOW dan KOMEN!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...